mutakhir

Menyamar pegawai mahkamah pulak...

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengesahkan sindiket Macau Scam kini menggunakan nama dan identiti mahkamah dalam modus operandi mereka bagi menjerat mangsa.

PKPMP dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai panggilan telefon beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah.

Katanya, dalam aduan diterima, individu kononnya pegawai mahkamah akan menuntut bayaran tunggakan seperti hutang, tunggakan saman, kesalahan tidak membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kesalahan berkaitan dadah daripada mangsanya.

“Jadi, merujuk kepada aduan orang awam selain artikel dilaporkan media tempatan bertarikh 6 November lalu bertajuk Jurutera rugi RM70,000 ditipu sindiket yang mendedahkan sindiket penipuan menggunakan nama serta identitt mahkamah, PKPMP mengesahkan ia sebahagian modus operandi sindiket itu.

“Jadi, PKPMP memohon kerjasama orang ramai agar tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, jika menerima panggilan sedemikian, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan, aduan atau pertanyaan terlebih dulu menerusi emel kepada komunikasikorporat@kehakiman.gov.my.

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi PKPMP Semenanjung menerusi talian 03-88803500 atau 03-88804607, Sabah (088-286100/088-675570/089-764401) dan PKPMP Sarawak (082-442228/085-418118/084-333788/086-334189).

“Individu yang menjadi mangsa panggilan menggunakan nama serta identiti mahkamah diminta membuat laporan kepada polis.

“Ia bagi membolehkan laporan itu dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjutan,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 9:43pm
d