mutakhir

Bekas Gabenor BNM pernah dipanggil SPRM

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim pernah dipanggil memberi keterangan berhubung penggunaan hasil wang jualan tanah seluas 22.5 hektar pada Januari tahun ini.

Sumber SPRM berkata, hasil jualantanah milik kerajaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) itu kemudian digunakan bagi membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Selain Muhammad Ibrahim yang sudah beberapa kali dipanggil, turut dipanggil memberi keterangan adalah beberapa pegawai daripada BNM yang dipercayai mempunyai pengetahuan mengenai urus niaga berkenaan.

"Selain keterangan beliau, SPRM juga turut merekodkan keterangan beberapa pegawai dari BNM yang lain.

"Namun, siasatan SPRM bukan menjurus kepada urus niaga hartanah yang dibuat antara kerajaan dan BNM, sebaliknya membabitkan penggunaan wang RM2 bilion diperoleh hasil jualan tanah itu," katanya.

Menurut sumber itu juga, urusniaga jual beli hartanah itu juga turut disiasat oleh bank pusat berkenaan bagi melihat sama ada ia dilakukan mengikut prosedur yang betul.

"Jadi, siasatan dijalankan SPRM tidak akan mengganggu siasatan dalam dilakukan oleh bank pusat terbabit kerana fokus siasatan adalah berbeza.

"Siasatan SPRM menjurus kepada pengunaan wang hasil jualan itu yang dipercayai bagi membayar hutang 1MDB kepada IPIC, manakala siasatan BNM membabitkan urus niaga jual beli hartanah berkenaan," katanya.

Sebelum ini, BNM memaklumkan bahawa beberapa pegawai yang terbabit dalam urus niaga jual beli hartanah berkenaan sudah diminta untuk bercuti sementara siasatan dijalankan oleh bank pusat itu.

Jun lalu, Muhammad menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Gabenor Bank Negara selepas berkhidmat lebih dua tahun biarpun tempoh perkhidmatannya masih berbaki tiga tahun lagi.

Jawatan itu kemudian diisi oleh Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, bekas pegawai Bank Negara yang menyiasat isu 1MDB pada 2015.

Sebelum ini, Muhammad dalam satu kenyataannya menafikan membantu kerajaan Barisan Nasional membayar balik hutang 1MDB.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal penggunaan wang hasil jualan tanah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi mengesahkan bahawa bekas Gabenor BNM itu serta beberapa pegawainya yang lain turut dipanggil bagi siasatan kes pembelian tanah oleh BNM dengan tujuan membayar hutang IPIC.

Disiarkan pada: November 7, 2018 @ 10:57pm
d