mutakhir

Rawat air guna teknologi ozon

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

LIMA daripada 34 loji rawatan air di Kelantan menggunakan kaedah rawatan ozon serta tidak menggunakan bahan kimia.

Ketua Jabatan Teknikal Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Lt Ir Tengku Iskandar Tengku Ismail berkata, lima loji yang menggunakan teknologi ozon iaitu Loji Rawatan Air Pintu Geng; Kampung Chap, Bachok; Perol; Wakaf Bharu; dan Merbau Chondong, Machang.

“Berbanding di negeri lain yang kebanyakannya menggunakan air sungai, namun di negeri ini ia lebih kepada penggunaan sumber air bawah tanah dan teknologi ini sesuai digunakan.

“Dengan penggunaan teknologi ozon, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan sehingga 80 peratus kos operasi selain kualiti air bawah tanah juga mencapai standard air minuman dan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Persidangan Dan Pameran Malaysia Water Engineers Action Committee (MYWAC) di Hotel Grand Riverview (GRV), di Kota Bharu, malam tadi.

Tengku Iskandar berkata, teknologi kaedah rawatan ozon yang diguna pakai dalam loji rawatan air di negeri ini akan dibincangkan dalam persidangan berkenaan.

“Persidangan MYWAC Kali Ke-31, julung kalinya diadakan di negeri ini dan kami mensasarkan seramai 450 peserta seluruh negara yang terdiri daripada jurutera, pembekal, perunding dan kontraktor.

“Sebanyak 18 kertas kerja akan dibentangkan dalam persidangan yang diadakan selama empat hari bermula 25 hingga 28 November ini yang bertemakan ‘Pembangunan guna tanah dan perubahan cuaca’.

“Dalam masa sama, peserta yang menghadiri persidangan ini juga dibawa secara berperingkat ke Loji Rawatan Air Pintu Geng untuk melihat lebih dekat mengenai penggunaan teknologi ozon,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 10:03am
d