mutakhir

Lima dah dapat, cari lagi dua

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG daripada tiga pelatih perempuan asrama akhlak yang melarikan diri awal pagi kelmarin, ditahan semula di rumah flat di Jalan Langgar, Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, remaja berusia 16 tahun itu ditemui sedang tidur di rumah berkenaan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 11.30 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rumah itu dipercayai didiami bekas pelatih asrama akhlak yang telah dibebaskan.

“Usaha mencari dua lagi pelatih asrama yang melarikan diri masih diteruskan.

“Remaja yang ditemui itu kini ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 1.17 pagi itu, tujuh pelatih perempuan asrama akhlak bertindak melarikan diri melalui siling bumbung asrama yang dipecahkan dan menjadi laluan mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, empat daripada mereka berjaya ditahan semula pada hari sama.

Berita berkaitan

Korang nak lari mana?

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 11:12am
d