mutakhir

Pemandu Grab tak mengaku rogol budak [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

PEMANDU Grab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini terhadap pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 11 tahun, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Teh Kim Huat, 49, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Azmah Yaacob.

Teh didakwa merogol kanak-kanak yang kini berusia 14 tahun dan sudah tidak bersekolah di rumah di Jalan Kedidi, Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini pada 2015.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Farah Aimy tidak menawarkan jaminan, namun tertuduh merayu supaya dia dibenarkan diikat jamin dengan nilai yang rendah kerana terpaksa menanggung dua anak yang masih kecil.

Wan Azmah kemudian menetapkan 20 Disember ini sebagai sebutan semula kes dan untuk tertuduh melantik peguam.

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 11:32am
d