mutakhir

Program 'diversion' alternatif rehabilitasi

Oleh Fahmy Azril Rosli

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melaksanakan program pengasingan (diversion) terhadap kanak-kanak yang ditahan kerana melakukan kesalahan jenayah, bermula tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program itu adalah satu sistem pengalihan kanak-kanak yang terbabit jenayah ringan dan tidak serius daripada sistem kehakiman sedia ada.

“Mengikut program ini, kanak-kanak yang tersabit kesalahan ringan tidak akan ditahan.

“Mereka akan menjalani modul intervensi yang disediakan khas mengikut jenis kesalahan dan latar belakang kanak-kanak itu.

“Modul intervensi terbabit merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan,” katanya ketika berucap dalam program turun padang ke institusi kanak-kanak di Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Rose Lena Lazemi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Fazari Mohd Salleh.

Mengulas lanjut mengenai program diversion, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ia adalah kaedah baharu yang berfungsi sebagai antara alternatif rehabilitasi.

Beliau berkata, kadangkala kesan buruk dari sudut psikologi yang dihadapi oleh kanak-kanak kerana melalui proses perundangan akibat daripada melakukan kesalahan kecil adalah lebih teruk berbanding kesalahan dilakukan sendiri.

“Kalau (kanak-kanak) ditahan, mereka akan menerima pendedahan jenayah sekali gus langkah itu tidak membantu proses pemulihan mereka.

“Justeru, inisiatif seperti diversion yang saya nyatakan perlu dipertimbang untuk dilaksanakan sebagai kaedah rehabilitasi alternatif.

“Saya percaya dan yakin anak-anak ini mampu mengubah nasib mereka menjadi insan atau pemimpin masa hadapan yang akan menyahut cabaran negara,” katanya

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 11:47am
d