mutakhir

Mayat terapung galas beg berisi batu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui terapung sambil menggalas beg berisi batu di Sungai Sembulan dekat Sembulan, Kota Kinabalu, semalam.

Difahamkan, mayat itu ditemui oleh orang awam jam 9.20 malam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditemui mayat lelaki dianggarkan berusia 40-an itu memakai seluar panjang kelabu, t-shirt putih berkolar serta beg sandang di belakang.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat identiti mayat terbabit tetapi dipercayai mangsa berbangsa India berdasarkan warna kulit dan tatu di lengan kiri dan kanan.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang objek mencurigakan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati ada kecederaan di bahagian muka dan memakai beg sandang berisi batu, dipercayai digunakan sebagai pemberat agar mayat tidak timbul di permukaan sungai.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian juga menunjukkan tidak berlaku sebarang unsur jenayah yang dapat dikaitkan sebagai punca kematian mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau pekerja diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 1:59pm
d