mutakhir

Pujuk wanita mahu bunuh diri

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KECEKAPAN anggota bomba wanita menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan bunuh diri di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Flat Melana, Perling, Johor Bahru, tengah hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, usaha menyelamatkan mangsa dilakukan dua anggota terbabit sejurus pihaknya menerima panggilan pada 12.41 tengah hari.

Katanya, dua jentera, sebuah Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama 14 anggota ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan wanita berusia 22 tahun itu.

“Kami bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan orang awam mengenai seorang wanita cuba membunuh diri di tingkat 11 flat di Perling.

“Wanita terbabit duduk di atas tembok koridor dalam keadaan kaki terjulur di luar tingkat 11 flat itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipujuk dan ditenangkan dua anggota bomba wanita itu.

“Dua anggota bomba wanita itu nyata berjaya memujuk mangsa terbabit dan ditarik ke dalam tingkat itu dari arah belakang,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, motif wanita itu bertindak sedemikian tidak diketahui, selain dia bukan penghuni kediaman terbabit.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 4:57pm
d