mutakhir

Tak guna punya bapa saudara...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG gadis menjadi mangsa serangan seksual bapa saudaranya selepas dipaksa memegang kemaluan lelaki terbabit dalam kejadian di Kuala Nerus, Isnin lalu.

Selain itu, mangsa berusia 14 tahun turut diugut bunuh sekiranya dia membuat bising dalam kejadian jam 9.30 malam.

Menurut sumber, mangsa yang berseorangan di rumah didatangi suspek, 20-an, ketika ahli keluarganya pergi melawat ibu saudara mangsa yang juga isteri suspek.

Katanya, suspek memberi alasan mahu memberi barang kepada ibu mangsa dan remaja terbabit yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan bapa saudaranya masuk ke dalam rumah.

“Suspek bertindak mengambil sehelai kain dan menutup mulut anak saudaranya itu, sebelum menolak mangsa ke sofa di ruang tamu selain turut mengugut akan membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising dan memaksa remaja itu memegang kemaluannya.

“Mangsa enggan menuruti kemahuan suspek, tetapi terpaksa akur dan suspek beredar meninggalkan mangsa tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan keluar dari rumah dan menghubungi bapanya menggunakan telefon orang awam yang ditemuinya di tepi jalan lalu menceritakan perbuatan suspek.

Katanya, susulan kejadian, satu laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak keesokkannya sebelum suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan.

Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 14(B) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 5:24pm
d