mutakhir

'Doa tak putus buat Angah'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PENDERITAAN Muhammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, atau ‘Angah’ yang menghidap empat jenis kanser termasuk hidung, hati, paru-paru dan selaput otak terus mendapat suntikan semangat daripada netizen.

Pemerhatian terhadap beberapa laman Facebook (FB) yang berkongsi kisah pemuda berkenaan mendapati jumlah tontonan dan perkongsian berita itu terus meningkat.

FB Johor Ekk yang bertajuk ‘Doa Untuk Angah’ disiarkan pada 31 Oktober lalu mendapati gambar dikongsi medium sosial itu kini mencecah 116,487 pembaca, 346 komen, 389 perkongsian dan 1,679 tanda suka.

Angah tidak putus-putus menerima iringan doa berterusan daripada netizen supaya dirinya diberi kesembuhan dan sihat seperti sedia kala.

Seorang pengguna FB, Norlaila Borhan turut berkongsi kata-kata semangat dan doa kepada Angah dalam mendepani penyakit berkenaan.

“Ya Allah, semoga diberi kesembuhan dan diberi kekuatan melawan kesakitan yang dialaminya (Angah). Amin,” katanya berkongsi doa.

Turut memberi kata semangat pemilik akaun Faizal Razali yang mendoakan supaya Angah berada dalam lindungan Allah.

“Allahuakhbar. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Semoga Angah berada dalam lindungan Allah SWT.

“Insya-Allah kelak Allah akan bagi ganjaran yang besar pada Angah. Semoga sembuh hendaknya,” katanya.

Rezeki terus menyebelahi Angah apabila pelbagai pihak terus menawarkan diri untuk membantu mengisi tabung amal untuk rawatan terhadap kanser dialami.

Sementara itu, bapanya, Zulkifly Mohamed, 55, berkata beliau terharu dengan sambutan pelbagai pihak menyalurkan sumbangan digerakkan bersama anak sulungnya, Muhamad Fadzizrul Azraain Billah Zulkifly, 24, atau Along bersama beberapa artis tempatan.

“Menerusi bantuan Along yang juga gitaris Kumpulan Nota Band, Program Charity Bersama Musician Johor berjalan dengan jayanya.

“Program lima jam itu turut dibantu Ronnie Hussein, penyanyi kumpulan Zabarjad dan beberapa atis lain berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai di Bazar Karat Johor Bahru malam tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkifly berkata, biarpun Angah tidak dapat bersama kerana demam, tetapi dia tetap bersyukur kerana mendapat sokongan ramai pihak dalam menyalurkan sumbangan terbabit.

“Kebetulan Ronnie mengenali Angah dan kehadiran penyanyi itu bukan saja memberi sokongan, tetapi memberi kata semangat untuk Angah pulih,” katanya.

Menurutnya, Along turut mendapat keizinan Warung Nasi Lemak Wak Kentut, Kulai untuk menganjurkan kutipan amal beberapa hari lalu.

“Selepas program itu, seorang individu berstatus datuk merancang mengadakan program kutipan amal untuk Angah di Masai pada Rabu ini,” katanya.

Katanya, bagi pihak keluarga mereka berterima kasih terhadap sokongan diberikan pelbagai pihak dalam meringankan beban ditanggung Angah.

“Bagi pihak keluarga ribuan terima kasih kerana sama-sama membantu mengisi tabung terbabit.

“Sikap ambil berat mereka semua termasuk badan bukan kerajaan (NGO), individu, agensi dan wartawan hanya Allah SWT saja mampu membalasnya,” katanya.

Katanya, wang didermakan orang ramai itu akan digunakan untuk pelbagai perkara luar jangka termasuk pembedahan atau keperluan lain.

Ditanya lanjut mengenai kesihatan Angah katanya, pemuda berkenaan tidak banyak berubah, selain dijangka kembali mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 15 November ini.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan itu terus melalui akaun Bank Rakyat miliknya, Zulkifly Mohamed 220173-28-4976.

Berita berkaitan

'Angah nak sihat...'[METROTV]

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 6:28pm
d