mutakhir

Askar maut motosikal bertembung bas sekolah

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

ANGGOTA tentera maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang bertembung dengan bas sekolah di Jalan Puncak Borneo berhampiran Kampung Bratan, Padawan, hari ini.

Mangsa, Joharie Safri, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang, selain pendarahan teruk di bahagian kepala dan muka.

Sumber memberitahu NSTP, nahas berlaku apabila mangsa gagal mengelak bas sekolah dari arah bertentangan lalu merempuh bahagian lampu hadapan sebelah kiri bas itu.

“Akibat daripada impak pelanggaran berkenaan, bahagian bawah kiri bas terbabit hancur dengan motosikal berkuasa tinggi itu terperosok dalam kawasan pelanggaran itu.

“Mangsa dipercayai patah tulang belakang dengan bahagian muka dan badan berada di bawah motosikal terbabit.

“Mangsa meninggal dunia serta-merta akibat impak kuat ketika pelanggaran dengan bas berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii ketika mengesahkan kejadian berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.44 pagi.

“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bergegas ke tempat kejadian dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat, selain turut melaksanakan kerja pembersihan.

“Mayat mangsa dikeluarkan pada 7.40 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 6:47pm
d