mutakhir

Koperal polis didakwa pukul wanita asing ditahan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS Johor mengesahkan sudah menahan anggota polis yang didakwa terbabit memukul seorang wanita warga asing sehingga mendatangkan kecederaan, tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki itu ditahan semalam, bagi membantu siasatan selepas satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan mangsa terbabit di dalam laman sosial Facebook (FB).

“Satu muat naik tular di FB berkaitan seorang wanita warga asing yang mendakwa dicederakan sehingga mengalami kecederaan di kedua-dua lututnya serta diugut akan ditangkap jika melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Dakwa mangsa ia berlaku pada Disember 2017 dan suspek dipercayai seorang lelaki yang bertugas di sebuah balai polis di Johor Bahru.

“Rentetan penularan kes ini, satu laporan polis dibuat bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya dihubungi melalui laman FB dan kini berada di luar negara dan usaha sedang dibuat dengan kerjasama pihak Interpol bagi merakam percakapan mangsa mengenai kesahihan kejadian dan dakwaan yang ditularkan.

“Bertindak atas maklumat, satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berpangkat koperal yang bertugas di sebuah balai polis di daerah ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Khalil turut meminta kerjasama orang ramai jika mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi terus talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Hoo Yee Fung di talian 017-4785068.

Semalam, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais memaklumkan pihaknya menjadikan muat naik yang tular di FB tentang dakwaan seorang wanita disiksa dan dipukul anggota polis yang berkhidmat di Permas Jaya di sini, sebagai laporan polis.

Beliau dipetik berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan disebarkan di media sosial itu dan laporan akan dibuat oleh pihak polis berkaitan maklumat diterima itu.

Berdasarkan tular terbabit, seorang anggota polis yang bekerja di Balai Polis Permas Jaya dikatakan menyeksa mangsa ketika di negara ini.

Mangsa mendakwa diseret anggota itu dari Jalan Aspal dan memukulnya hingga berdarah.

Malah, wanita itu mendakwa mempunyai hubungan cinta dengan anggota yang sudah beristeri itu.

Dakwanya, antara punca anggota terbabit memukulnya kerana cemburu selepas dilihat bermesra dengan seorang lelaki di sebuah kelab di Permas Jaya pada 26 Disember tahun lalu.

Akibat itu, wanita terbabit mendakwa dimasukkan ke penjara selama dua dan enam hari kerana memiliki pil ekstasi.

Disiarkan pada: November 8, 2018 @ 8:21pm
d