mutakhir

Henti tuding jari

Oleh Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menumpukan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan melupakan apa yang berlaku pada masa lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan kerajaan baharu perlu berhenti menuding jari serta menyalahkan kerajaan terdahulu yang mentadbir negara ini selama 61 tahun.

“Sekarang sudah enam bulan. Kerajaan perlu memberi tumpuan dalam pelaksanaan. Rakyat tahu apa yang terjadi, sebab itu mereka undi untuk menyingkirkan kerajaan sebelum ini.

“Justeru, adalah amat penting untuk kerajaan sekarang tidak mengulangi (kesilapan) pemimpin lama,” katanya pada Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018 di sini, semalam.

Daim berkata, kerajaan juga harus berusaha mengembalikan keyakinan dalam kalangan pelabur untuk menarik mereka semula kembali melabur di negara.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat memberi sedikit masa kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk semula ekonomi negara.

“Ramai yang tidak sabar, mereka undi untuk perubahan dan ingin melihat hasilnya serta-merta. Memang pelbagai janji dibuat, tetapi apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kerajaan mendapati perbendaharaan sudah tiada.

“Bagaimana kami ingin tunaikan janji? Jadi ini akan memakan masa,” katanya.

Daim berkata, menteri Kabinet perlu berhubung dan bekerjasama dengan penjawat awam kerana ramai antara mereka adalah layak, rajin dan jujur.

Daim menyarankan kerajaan semasa membuat kenyataan berbentuk dasar dan serta perlu bekerja sebagai satu pasukan.

Bekas Menteri Kewangan, ahli perniagaan dan ahli politik yang bersara 20 tahun lalu itu berkata, beliau gembira kerana telah melalui fasa persaraan ketika ini.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 10:17am
d