mutakhir

Warga emas ditikam jiran

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI warga emas cedera selepas ditikam jiran di perkarangan rumahnya di Persiaran Ampang Saujana, Ampang, kelmarin.

Dalam kejadin 6.25 petang itu, mangsa berusia lingkungan 60-an cedera selepas ditikam dengan pisau di bahagian kepala dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa berusia 59 tahun kira-kira 8 malam.

“Isteri mangsa yang juga suri rumah memaklumkan terdengar bunyi bising di kawasan luar rumah mereka.

“Wanita itu kemudian membuka pintu rumah dan mendapati badan suaminya dipenuhi darah,” katanya dalam satu kenyataan, Ampang, hari ini.

Hamzah berkata, wanita itu mendapati terdapat luka di bahagian kepala dan tangan kanan suaminya.

“Isteri mangsa dimaklumkan oleh jirannya seorang lelaki yang tinggal di hadapan rumah mereka menyerang suaminya menggunakan pisau.

“Wanita itu terus menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan datang ke balai bagi membuat laporan untuk tindakan lanjtut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas satu parang serta dua pisau.

“Kes disiasat mengikut Seksten 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 1:13pm
d