mutakhir

'Pi sekolah la, bukan mencuri...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KETIKA remaja seusianya sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi lagi, seorang remaja lelaki pula mencuri kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger di hadapan kilang di Jalan Kilang Sago Baru, Kulim, semalam.

Bagaimanapun, tindakan suspek berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah itu mengundang padah apabila dia ditahan polis 11.10 malam tadi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pemilik kenderaan terbabit menyedari kehilangan Ford Ranger itu pada 8 pagi dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek mencurinya pada 3.45 pagi.

Menurutnya, susulan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Task Force Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim mengesan suspek.

“Suspek kemudian ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi sebelum dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan mendapati suspek yang sudah tidak bersekolah dan bekerja kontrak dipercayai mencuri kenderaan itu untuk digunakan bagi mengangkut barangan lain dicurinya,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, semakan mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan.

Beliau berkata, kenderaan itu ditemui semula bersama barangan curi seperti dua lampu sorot warna hitam tiada jenama, satu set inverter ACR Welder Model GM 2000 Jenama Austweld warna biru dan satu set inverter Welder Model Cut 60J Jenama Jasic warna oren.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 6:20pm
d