mutakhir

'Heroin' bomba teruja selamatkan wanita

Oleh Mohd Sabran Md Sani

BERTAWAKAL, ingat Allah dan tenangkan diri antara tip dikongsi dua ‘heroin’ bomba ketika pertama kali mengendalikan tugasan mencabar kes wanita cuba membunuh diri di Taman Perling, Johor Bahru, tengah hari semalam.

Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Haslina Yunus, 37, dan Intan Syakirah Jama’ari, 22, turut menggunakan pendekatan secara berlemah lembut dan sentuhan kepada wanita itu supaya dia yakin berada dalam situasi selamat.

Haslina berkata, dia bersyukur kerana dapat membantu wanita berusia 22 tahun itu daripada bertindak terjun dari bangunan 11 tingkat di PPRT Flat Melana itu.

“Bagi saya, ia satu kepuasan sukar diluahkan dengan kata-kata, tetapi apa yang kami lakukan itu adalah melalui keikhlasan hati dalam membantu mangsa terbabit.

“Sebagai orang Islam, kita kena ingatkan Allah, tenangkan diri, baru tenangkan mangsa,” katanya ditemui di BBP Johor Bahru, hari ini.

Ibu kepada dua anak yang berasal dari Tawau, Sabah itu berkata pelbagai spekulasi terbayang pada fikiran mereka berdua tatkala diminta melaksanakan tugas berat seperti itu.

“Memang pada masa itu kami cemas apatah lagi bukan mudah untuk dilakukan, tapi bila sampai di lokasi kejadian, tidak seperti difikirkan sebaliknya kita perlu bertindak cepat dalam situasi cemas dan kritikal seperti itu.

“Bagi kami kes seperti itu (cubaan bunuh diri) agak sukar kerana jika tersilap langkah dia jatuh atau kami berdua yang jatuh,” katanya.

Katanya, biarpun ia misi pertama bagi mereka berdua, tetapi teknik betul dalam menyelamatkan mangsa ketika berada di Akademi Bomba Sabah memudahkan tugas berkenaan.

“Dalam situasi itu, kami tidak mengambil masa lama memujuk wanita terbabit kerana mudah didekati serta tidak agresif.

“Apa yang penting, kami perlu bertindak melalui akal dan barulah ia turun dari hati yang ikhlas, sekali gus memudahkan kerja dilakukan dengan tenang dan pantas,” katanya.

Menurutnya, dia yang pernah berkhidmat sebagai anggota kawalan Kem Bukit Kayu Hitam dan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat suntikan motivasi daripada netizsen selepas kerja baik dilakukan

“Selepas selesai kes itu, tular mengenai usaha kami hingga membanggakan keluarga kami yang melihat gambar memujuk mangsa di laman sosial.

“Alhamdulillah, kami menerima banyak kata-kata positif termasuk menyatakan kami anggota wanita bomba terbaik dan ‘good job’,” katanya.

Paling menarik, katanya, ramai yang terkejut dan tidak sangka ada bomba wanita seperti mereka yang melakukan tugas mencabar.

Turut berkongsi pengalaman, Intan Syakirah yang juga anak kelahiran Kuching, Sarawak, bersyukur dapat membantu menyelamatkan wanita itu.

Biarpun baru dua tahun berkhidmat dengan pasukan itu, namun slogan ‘Seerat Serasa Sehati Sejiwa’ menjadi semangat dalam menempuh kerjaya mencabar.

Dalam kejadian semalam, kecekapan dua bomba wanita itu berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada cubaan bunuh diri di PPRT Flat Melana, Perling, tengah hari semalam.

Berita berkaitan

'Pujuk wanita mahu bunuh diri'

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 6:42pm
d