mutakhir

Tiada syarat dapat bon samurai

Oleh Manirajan Ramasamy dan Luqman Arif Abdul Karim

JEPUN tidak meletakkan sebarang syarat ketika memperuntukkan bon samurai dengan nilai keseluruhan RM7.4 bilion kepada Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika menjelaskan perkara itu berkata, pinjaman mudah bagi tempoh 10 tahun berkenaan berupaya digunakan untuk pelbagai tujuan, selain mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Ia boleh digunakan untuk bayar pinjaman atau dibelanjakan untuk membangunkan pelbagai projek.

“Tiada sebarang syarat dikenakan,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF), di Serdang hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEF, Tan Sri Dr Michael Yeoh; Pengerusi bersamanya merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengakui syarikat rel Jepun, JR Kyushu adalah antara peneraju industri berkenaan, justeru Malaysia berupaya menimba pengalaman dan kemahiran berkaitan dari Negara Matahari Terbit itu.

“Kita nak belajar daripada mereka. Malaysia mahu Jepun menasihati kita mengenai bagaimana menguruskan pelbagai program pengangkutan di negara ini,” katanya.

Menyentuh cadangan pembangunan industri automatif ketiga negara, Dr Mahathir menjelaskan ia adalah usaha diterajui sektor swasta yang mempunyai ‘pilihan terbuka’ dalam memilih teknologi bersesuaian.

“Terpulang kepada mereka (sektor swasta) untuk menguruskannya. Mereka boleh pilih Jepun, China atau Korea (untuk menjalin kerjasama).

“Kita (kerajaan) tidak meletakkan sebarang syarat,” katanya.

Mengulas hasil rundingan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir menyifatkan ia bukan tugas mudah, namun kerajaan bertekad supaya keputusan mengenai projek yang dikatakan mampu mengimbangi kemajuan dengan Pantai Barat Semenanjung itu berupaya mencapai kata sepakat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mempunyai sebarang unjuran tertentu mengenai tempoh rundingan sebelum satu kata putus mengenai ECRL diumumkan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengalu-alukan hasrat bekas veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU bagaimanapun berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai sebarang percaturan untuk melantik bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyandang jawatan tertentu dalam Kabinet.

“Beliau (Rafidah) sudah lama berkhidmat dengan kita, justeru kehadirannya ke BERSATU amat dialu-alukan.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai pemberian sebarang jawatan, tetapi beliau akan menjadi ahli (BERSATU),” katanya.

Terdahulu dalam ucaptama perasmian, Dr Mahathir menzahirkan penghargaan sumbangan komuniti China dalam membantu usaha memacu pembangunan Malaysia, malah mengakui rakyat negara yang kini muncul sebagai antara kuasa besar dunia itu menguasai kemahiran menerajui rantaian sektor perniagaan.

Disiarkan pada: November 9, 2018 @ 7:52pm
d