mutakhir

'Pegawai SPRM' direman [METROTV]

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

EMPAT lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan sebanyak RM2 juta untuk menyelesaikan kes membabitkan individu bergelar Datuk Seri.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan mulai hari ini hingga 15 November ini.

Sumber berkata, tiga daripada suspek ditahan pada tiga petang dan seorang lagi pada 8.15 malam, semalam.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 33 hingga 49 tahun itu ditahan di kelab golf terkemuka di Sungai Buloh, Selangor manakala seorang lagi suspek berusia 37 tahun ditahan di rumahnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

"Keempat-empat lelaki berkenaan bersubahat untuk meminta wang suapan sebanyak RM2 juta daripada seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa mempunyai kes membabitkan SPRM.

"Susulan penahanan itu, SPRM merampas tujuh telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan daripada keempat-empat suspek berkenaan serta wang tunai berjumlah RM48,350 daripada salah seorang suspek.

"Kes mengenai suspek terbongkar susulan laporan yang dibuat mangsa," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 11:49am
d