mutakhir

Bukan hilang, tapi ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA warga China yang dilaporkan hilang sebelum ini berada dalam tahanan pihak Imigresen yang membuat serbuan di pusat hiburan di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, 13 Oktober lalu.

Mangsa, Zhou Han, 22, sebelum ini dilaporkan hilang oleh ayahnya, selepas gagal dihubungi dan dikatakan hilang ketika berada di negara ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, kali terakhir mangsa berhubung dengan bapanya pada 10 Oktober lalu melalui WeChat.

"Bapa mangsa mendapat maklumat bahawa anaknya masuk ke Malaysia pada 2 Oktober lalu bersama enam lagi wanita warga China dipercayai dibawa oleh satu kumpulan dari negara berkenaan.

"Difahamkan kesemua wanita terbabit tidak saling mengenali antara satu sama lain. Lelaki itu memaklumkan tujuan anaknya datang ke Malaysia adalah untuk menjadi penyanyi bar," katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Shaharudin berkata, siasatan mendapati wanita terbabit ditahan Bahagian Perisikan, Operasi Khas Dan Analisa Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Cheras, di sini, 13 Oktober lalu.

"Wanita itu ditahan bersama 21 warga asing yang lain di premis berkenaan mengikut Sekyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63.

"Semakan berhubung status terkini dan lokasi wanita itu ditempatkan sedang dilakukan dengan pihak JIM," katanya.

Sebelum ini, bapa wanita berkenaan tampil membuat laporan Balai Polis Tun H.S Lee pada 24 Oktober lalu berhubung kehilangan anaknya yang dikatakan kali terakhir dilihat di sekitar sebuah hotel di Jalan Imbi, di sini.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 3:47pm
d