mutakhir

Jelir lidah, cuba rempuh polis

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

BUKAN saja cuba merempuh polis dengan motosikal, suspek lelaki bertindak biadab menjelirkan lidah kepada anggota polis sebaik ditahan di simpang tiga Kampung Sri Manis, dekat Bukit Garam, Kinabatangan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, suspek warga Filipina berusia 30 tahun itu dan rakannya warga Indonesia berumur 20 tahun, dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal selepas siasatan mendapati kenderaan yang digunakan mereka itu pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

Menurut sumber, sebelum kejadian, pihak polis sedang menjalankan operasi cegah jenayah di lokasi terbabit.

"Suspek kemudian kelihatan dalam keadaan mencurigakan dengan menunggang motosikal. Mereka kemudian cuba merempuh anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun, tindakan suspek berjaya dihentikan dan ketika hendak ditahan, penunggang motosikal dipercayai warganegara Filipina itu turut menyerang polis dan melawan sehingga berlaku pergelutan dengan polis.

"Selepas ditahan, lelaki itu juga sempat menjelirkan lidah kepada pasukan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi NSTP mengesahkan kejadain terbabit.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 5:21pm
d