mutakhir

Bank mampu kawal selia harga rumah

Oleh Rafidah Mat Ruzki

PIHAK bank dan institusi kewangan yang memberikan pinjaman perumahan mampu menjadi badan yang mengawal selia harga rumah di bawah Skim FundMyHome.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ia berikutan bank juga adalah pihak yang akan meluluskan pinjaman berjumlah 20 peratus daripada nilai rumah melalui skim berkenaan.

Justeru, katanya, sudah tentu pihak bank tidak akan dengan sewenang-wenangnya melepaskan pinjaman rumah yang dijual pada harga yang lebih mahal berbanding harga pasaran.

"Skim ‘crowdfuding’ ini bukan lahir daripada pemaju dan pelabur saja tetapi juga daripada bank yang akan meluluskan pinjaman sebanyak 20 peratus daripada nilai sebenar rumah berkenaan.

"20 peratus itu sangat bernilai. Kalau bank melihat ia (harga rumah) tidak wajar, saya kira bank pun tidak mudah melepaskan pinjaman itu dengan begitu saja kerana selepas lima tahun, pembeli perlu menjual atau membuat pembiayaan semula nilai rumah itu.

"Jika nilai rumah hanya bergerak dua atau tiga peratus saja, saya kira yang akan mengalami kerugian besar adalah bank," katanya kepada pemebrita, di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai eksekutif sebuah firma perundingan hartanah, FAR Capital Sdn Bhd, Faizul Ridzuan, yang dilaporkan berkata, kaedah pembelian rumah menggunakan pendanaan ramai atau ‘crowdfunding’ menerusi Skim FundMyHome wajar dikaji dan dipantau rapi, supaya tidak dijadikan tempat pemaju melambakkan hartanah tidak terjual pada harga tinggi.

Faizul dilaporkan berkata, hartanah yang patut dimasukkan dalam skim ini perlu dipantau secara ketat, supaya tidak menjadi tempat pemaju melupuskan stok tidak laku yang sebenarnya melebihi harga pasaran.

Sementara itu, Amirudin berkata, situasi itu akan diperhatikan bukan saja oleh bank malah pihak berkuasa tempatan (PBT), namun mengakui ekoran ia adalah penjualan dan praktis perniagaan, terpulang kepada pemaju untuk menjual hartanah terbabit mengikut harga yang mereka mahu tawarkan.

pix Faiz Anuar

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 5:41pm
d