mutakhir

Dapat duit, lot tapak rumah lagi Yob...[METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Zahratulhayat Mat Arif

KERAJAAN negeri mengumumkan insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai semua pemain dan pegawai pasukan bola sepak itu yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Katanya, insentif itu tidak termasuk yang diberikan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan ia adalah inisiatif kerajaan negeri sendiri.

“Selain insentif diberikan PAFA, kerajaan negeri akan menambah insentif RM10,000 setiap pemain dan satu lot tapak rumah selain daripada pingat diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

“Lot tapak rumah diberikan itu saya kurang pasti di mana kerana ia akan diuruskan oleh Pengarah PTG (Pejabat Tanah dan Galian).

“Insentif diberikan PAFA saya tidak pasti berapa kerana masalah sekarang di PAFA ini, presiden (Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim) baru sahaja meletak jawatan, namun kerajaan negeri akan menyerahkan insentif itu secepat mungkin,” katanya selepas Majlis Meraikan Piala Malaysia dan Piala Razak di Dataran Pavilion di Kuala Kangsar, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenaan meraikannya bersama pemain serta pegawai pasukan bola sepak dan hoki Perak.

Pasukan bola sepak Perak yang dikenali sebagai ‘The Bos Gaurus’ berjaya menamatkan kemarau 18 tahun dengan menumpaskan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu menerusi sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Manakala skuad hoki Perak berjaya memenangi Piala Razak dengan menewaskan negeri sama iaitu Terengganu juga menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan membincangkan insentif yang akan diberikan kepada skuad hoki Perak selepas kejayaan membawa pulang Piala Razak.

“Sebentar tadi saya dapat bisikan daripada pemain dan pegawai Piala Razak dan kita akan memikirkan insentif kepada mereka, saya tidak dapat membuat pengumuman hari ini kerana perkara itu masih belum dibincangkan pada Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri.

“Tentulah kita perlu berbangga dengan kejayaan skuad hoki Perak memenangi Piala Razak,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 11:14am
d