mutakhir

Tak kebal mana pun...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SELEPAS bertahun-tahun dianggap kebal, lapan pusat urut menawarkan khidmat urutan badan ke badan (B2B) di Bahau, Jempol, digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Dalam operasi 4.40 petang itu, Unit Operasi Khas (QRT) Bahagian Perisikan Operasi Khas JIM serta JIM Negeri Sembilan menahan 23 wanita warga asing berusia 18 hingga 42 tahun termasuk 15 dari Thailand dan masing-masing empat dari Laos dan China.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata serbuan serentak di lapan premis di Taman Meranti, Jempol itu dibuat hasil risikan pihaknya selama beberapa minggu.

Beliau berkata, kehadiran 34 anggota pada mulanya disedari penjaga premis yang dipercayai mendapat maklumat melalui ‘tonto’ menyebabkan mereka cuba menutup pintu hadapan pusat terbabit.

“Kehadiran awal beberapa anggota berjaya mengekang cubaan itu dan kami turut menangkap empat penjaga premis dan seorang ‘tonto’.

“Terdapat beberapa tukang urut melarikan diri ke rumah penginapan di Kawasan Perniagaan Kiara yang terletak di kawasan berhampiran dan mengunci pintu kediaman, memaksa kami memecahkan pintu,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati semua pusat terbabit menawarkan khidmat B2B dengan harga serendah RM50 hingga RM150 bagi tempoh 45 minit.

Katanya, tukang urut terbabit ditempatkan di rumah penginapan berasingan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Semua pusat urut itu sudah beroperasi terlalu lama dan dianggap kebal, malah banyak kali dikenakan tindakan kerana terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

“Semua wanita terbabit turut melakukan kesalahan salah guna pas lawatan sosial, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Lenggeng, Seremban untuk reman selama 14 hari.

“Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/ 1963 dan Akta Passport 1966,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan tujuh borang saman saksi kepada pelanggan yang berada di pusat terbabit.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 11:27am
d