mutakhir

Ceria terlepas tali gantung

Oleh Mary Victoria Dass

PENJUAL ayam dan sahabatnya mampu menarik nafas lega terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahry, hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kes pendakwaan terhadap Ang Bu Chuan, 38, dan Mar Soon Kit, 28, di akhir kes pembelaan.

Selepas selesai keputusan, dua sahabat yang masih berstatus bujang dan berasal dari bandar raya ini dilihat kelihatan ceria.

Malah, mereka didapati bersalaman bersama tertuduh kes berasingan yang turut berada dalam kandang sama sebagai tanda berkongsi kegembiraan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 126.06 gram di Jalan Idaman Utama, Larkin, Johor Bahru pada 12.25 tengah malam 13 September 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.7g di lokasi, masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Ang yang bekerja sebagai penjual ayam di pasar diwakili peguam Mohd Daud Ismail manakala Mar yang tidak bekerja diwakili peguam Yoong How Kiat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Taufik Saberi.

Terdahulu, pihak pembelaan didapati berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Keterangan saksi pembelaan adalah bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan.

Ia termasuk keterangan seorang saksi pembelaan menyatakan masih menyimpan kunci kereta dadah ditemui.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 2:16pm
d