mutakhir

RM23.3 juta 'barang salah' dirampas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas bunga api, mercun dan minuman keras bernilai RM23.3 juta dalam serbuan di seluruh negara sempena Ops Deepavali yang dijalankan sejak 15 Oktober lalu hingga hari ini.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd Hamid berkata, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 3,380 pemeriksaan dilaksanakan membabitkan serbuan ke atas premis, sekatan jalan raya dan rondaan di air serta darat.

Beliau berkata, operasi selama 28 hari itu membabitkan seluruh kekuatan pegawai dan pegawai kanan penguatkuasaan kastam di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Daripada pemeriksaan dijalankan, JKDM berjaya memperoleh 389 kes seluruh negara yang melibatkan pelbagai kesalahan dan sebanyak 382 kertas siasatan dibuka.

“Daripada keseluruhan kes berkenaan 170 kes berjaya dikompaun dengan jumlah keseluruhan kompaun RM539,354 dan selebihnya 186 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Azimah berkata, keseluruhan nilai rampasan itu adalah RM23.3 juta membabitkan anggaran cukai RM22.5 juta berjaya diselamatkan.

Beliau berkata, sebanyak 22 kes membabitkan tangkapan ke atas mercun dan bunga api pelbagai jenama sebanyak 1,054 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM17,252 apabila 8 kes daripadanya dikompaun sebanyak RM9,450.

“Bagi tangkapan ke atas minuman keras pula, JKDM menghasilkan 119 kes dan jumlah keseluruhan kuantiti dirampas sebanyak 231,460.89 liter minuman keras yang membabitkan nilai rampasan RM1.65 juta.

“Sebanyak RM7.9 juta nilai cukai yang berjaya diselamatkan dan daripada jumlah kes terbabit sebanyak 60 kes dikompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM141,244.

“Bagi kes membabitkan tangkapan ke atas rokok pula sebanyak 202 kes diperolehi dan anggaran sebanyak 26,457,858 batang rokok berjaya dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.8 juta dan sebanyak RM13.9 juta jumlah cukai yang berjaya diselamatkan, 87 kes daripadanya telah dikompaun sebanyak RM344,090,” katanya.

Beliau berkata, operasi perayaan dijalankan serentak di seluruh negara bertujuan untuk menyekat ‘supply and delivery system’ barang-barang belum lulus kastam terutama mercun dan bunga api yang kebiasaannya didapati apabila tiba musim perayaan.

Beliau berkata, operasi itu dapat memperlihatkan kekuatan JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan keupayaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit.

Katanya, operasi berkenaan diharap dapat memberikan impak positif dengan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian JKDM yang tidak bertolak ansur dengan aktiviti penyeludupan.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 3:05pm
d