mutakhir

[UPDATE] Suami pengasuh direman 5 hari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUAMI kepada pengasuh bayi yang maut akibat penderaan fizikal dan seksual, kelmarin, direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menahan pengasuh dan suaminya masing-masing berusia 28 dan 36 tahun, Khamis lalu, untuk siasatan lanjut,

"Suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang semalam (kelmarin) dan tempoh reman terhadap suspek dibenarkan selama lima hari sehingga 13 November ini.

"Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamine," katanya.

Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 0196655811 bagi membantu siasatan," katanya.

Bayi malang itu, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dengan panggilan Zara berusia 11 bulan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang, Rabu lalu.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang menerima bayi berkenaan sebagai pesakit dilaporkan tenat pada 3.05 petang, Rabu lalu.

"Ketika dihantar ke hospital terbabit, mangsa dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan. Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada tisu kemaluan dan dubur mangsa.

"Pihak hospital juga mengesahkan mangsa meninggal dunia semalam (kelmarin), 10.30 pagi, selepas dua hari dirujuk ke Hospital Serdang. Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

"Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Kajang, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, ibu bapa mangsa menetap di Bandar Baru Bangi, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh yang juga tinggal di kawasan perumahan sama sejak September lalu.

"Ketika dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik.

"Bagaimanapun, pada sebelah petang, mangsa dikatakan sesak nafas dan dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum diminta dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Tak sangka anak dijaga suami pengasuh'
  • 'Hukuman berat perlu dikenakan'
  • Pecah tempurung kepala bayi
  • Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 5:23pm
    d