mutakhir

Banjir kilat, banjir lumpur di Lembah Klang [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

HUJAN lebat sejak 4 petang, hari ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat, banjir lumpur dan kejadian pokok tumbang.

Di Kuala Lumpur, beberapa kawasan dinaiki air ekoran hujan lebat melanda di laluan utama sejak 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, antara laluan yang dinaiki air adalah Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.

"Selain itu, kami turut menerima laporan pokok tumbang di Jalan Ampang dan Jalan Kerayong ekoran angin kuat dan hujan lebat, petang tadi.

"Beberapa pasukan Skuad Bencana DBKL dikerahkan bagi memantau kawasan yang terjejas akibat kejadian itu," katanya.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya membuka satu pusat pemindahan di Kampung Datuk Keramat, ekoran air banjir kilat masih bertakung.

"Satu pusat pemindahan dibuka di Dewan Persatuan Penduduk Datuk Keramat dibuka kira-kira 7 malam tadi membabitkan sebuah keluarga terdiri daripada lima kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, seorang wanita berusia 30-an dan seorang wanita warga emas berusia 80-an.

"Keluarga terbabit terpaksa dipindahkan ekoran air bertakung sedalam kira-kira 0.5 meter di dalam rumah mereka. Pemantauan di kawasan berkenaan masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, di Selangor, Unit Pengurusan Bencana Selangor menerima maklumat kejadian banjir lumpur di Jalan Putra Hulu Langat, 5.30 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, lokasi itu adalah kawasan rendah yang berhampiran dengan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

"Banjir lumpur di kawasan itu juga menjejaskan laluan utama menghala ke Bukit Ampang. Banjir lumpur itu dilaporkan sudah surut kira-kira 6 petang tadi.

"Bagaimanapun, unit terbabit akan meneruskan pemantauan di lokasi berkenaan untuk tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 7:49pm
d