mutakhir

Budak Rohingya ditemui mati

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-KANAK perempuan dipercayai pelarian Rohingnya ditemui mati di rumah di Pandan Indah, Ampang, hari ini.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 11 pagi tadi sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sumber berkata, mangsa dipercayai adalah pelarian Rohingya dan menetap di negara ini sejak kecil.

Menurutnya, sepasukan polis yang menuju ke lokasi kejadian bertindak menahan wanita dipercayai ibu saudara kepada mangsa bagi membantu siasatan.

"Suspek yang memiliki kad pelarian UNHCR mendakwa mangsa adalah anak adik kandungnya bernama Muslimah.

"Bagaimanapun Muslimah didakwa berada dalam tahanan di Penjara Kajang ketika ini," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan siasatan awal dilakukan mendapati tiada indikasi mangsa didera memandangkan kanak-kanak itu dalam keadaan sakit sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 8:16pm
d