mutakhir

Lima terperangkap kereta tenggelam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBUAH kereta ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat banjir kilat di Terowong Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.56 petang tadi.

“Tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta terperangkap dalam terowong terbabit akibat banjir kilat,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Nordin berkata, terdapat lima mangsa menaiki kereta berkenaan.

“Ketika kami tiba, kami mendapati pemandu kereta terbabit berada di atas bumbung kenderaan berkenaan selepas terperangkap akibat banjir kilat.

“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar ke lokasi selamat dan mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 9:35pm
d