mutakhir

Aduh, sakitnya...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

KANAK-KANAK lelaki berusia empat tahun terpaksa menahan kesakitan apabila jari telunjuk tangan kanannya tersangkut pada lubang sinki di rumahnya di Alor Setar, malam tadi.

Berikutan itu mangsa dibawa ahli keluarganya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bersama lubang penutup sinki berkenaan untuk meminta bantuan.

Bagaimanapun, jari itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar di HSB.

Ketua Operasi BBP Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Zulkiflee Mat Isa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada 7.54 malam dan tiba di HSB pada 8 malam.

Beliau berkata, operasi disertai tujuh anggota bersama dua jentera termasuk anggota Unit RIM perlu menunggu 30 minit supaya mangsa tidak sedarkan diri selepas diberi ubat pelali oleh doktor untuk memudahkan operasi dilakukan.

“Anggota kami menggunakan alat pemotong khas iaitu ‘pneaumatic tool’ untuk mengeluarkan jari kanak-kanak itu yang masih terlekat pada lubang sinki itu.

“Operasi dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan keadaan lebih teruk lagi dan ia mengambil kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan jari berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Zulkiflee berkata, operasi tamat pada jam 9.23 malam tadi dan kes diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 8:54am
d