mutakhir

Uptown 24 terbakar

Oleh Ruwaida Md Zain

TIGA blok membabitkan 32 kedai di tapak lama Uptown Shah Alam di Seksyen 24, Shah Alam, terbakar kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam, Penguasa Bomba Kanan I Yusri Basri berkata, blok pertama dan kedua hangus 100 peratus, manakala blok ke tiga terbakar 50 peratus.

“Bomba menerima panggilan pada 5.37 pagi dan tiba pada 5.43 pagi tadi bagi menjalankan operasi pemadaman api.

“Ketika bomba tiba di lokasi, api sedang marak namun tiada kedai beroperasi waktu itu dan tidak membabitkan mangsa.

“Kebakaran membabitkan 32 unit kedai iaitu 14 unit di blok pertama, 14 unit di blok kedua dan empat unit di blok ketiga dengan berkeluasan 8.9 meter persegi setiap kedai.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 6.43 pagi dan padam sepenuhnya 7.03 pagi,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran dipadamkan pasukan bomba dengan kekuatan seramai 34 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan Subang Jaya, yang diketuai oleh Komander Operasi, Haizad Morah Abbas.

Difahamkan lokasi kebakaran adalah bersebelahan tapak baharu yang sedang dalam proses pembinaan selepas kebakaran empat tahun lalu.

Pada 15 Oktober 2014, penduduk Shah Alam dan sekitarnya dikejutkan dengan kebakaran Uptown Shah Alam di Seksyen 24 membabitkan 196 daripada 425 gerai di situ.

Kebakaran yang berlaku 2.30 pagi itu juga tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 10:11am
d