mutakhir

Tak pernah berjauhan

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Saling melengkapi kelebihan dan kekurangan satu sama lain menjadi resipi kejayaan kembar, Farah Alia Fauzi dan Farah Ayuni, 27, yang menamatkan pengajian dalam jurusan sama di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini.

Pasangan itu yang tidak pernah berjauhan sejak lahir, menerima Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Mekanikal pada Majlis Konvokesyen UMP ke-13, semalam.

Farah Ayuni berkata, dia dan adiknya mempunyai minat yang sama termasuk warna kegemaran serta makanan selain pernah juga menyimpan angan-angan mahu menjadi guru.

“Kami tidak pernah berenggang, sampai dapat kerja di negeri sama. Malah, rezeki kami apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh sama juga,” katanya di sini.

Katanya, dia kini bekerja sebagai pegawai projek dengan sebuah syarikat swasta di Seri Kembangan, Selangor, manakala adiknya bekerja sebagai pembantu penyelidik secara sambilan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

“Kejayaan hari ini berkat doa daripada ibu bapa kami (Fauzi Ismail, 53, dan Rohani Hamat, 50) selain kami juga saling menyokong satu sama lain untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah, gembira kami dapat menghabiskan pengajian bersama-sama,” katanya yang memberitahu mereka sering bertukar pandangan dan mengulang kaji pelajaran bersama-sama memandangkan belajar di kelas serupa.

Farah Ayuni memberitahu tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam keluarga untuk membantu meringankan beban ibu bapanya dan menjadi contoh yang baik buat adik-beradik.

“Tanpa pelajaran dan ilmu pengetahuan juga kita tidak mampu untuk bersaing. Kami berdua bercadang bekerja terlebih dahulu dan akan menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD) suatu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 10:48am
d