mutakhir

Tiga petugas kena siasat

Oleh Nazirul Roselan

Temerloh: Polis sudah mengambil keterangan tiga petugas termasuk pemilik sebuah rumah kebajikan anak yatim milik swasta di sini, berhubung dakwaan berlaku penderaan dan gangguan seksual.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, selain itu pihaknya mengambil keterangan 29 penghuni rumah berkenaan yang berusia lima hingga 16 tahun.

“Siasatan masih diteruskan meliputi semua aspek dan kita juga masih menunggu laporan perubatan akhir semua penghuni daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya di sini, semalam.

Mohd Zundin berkata, 29 penghuni terdiri daripada tujuh kanak-kanak perempuan dan 22 kanak-kanak lelaki dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemeriksaan mengejut di rumah berkenaan.

Katanya, seramai 27 orang sudah diserahkan kepada keluarga masing-masing sejurus prosedur selesai, manakala dua lagi yang tidak mempunyai keluarga terdekat diletakkan dalam jagaan JKM.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 10:58am
d