mutakhir

Rosmah didakwa lagi..?

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

ISTERI bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan tuduhan baru di mahkamah membabitkan kes projek solar hibrid bagi sekolah di Sarawak, minggu ini.

Difahamkan, pertuduhan akan dibuat terhadap Rosmah dalam waktu terdekat kerana peranannya dalam projek itu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Sumber SPRM berkata, projek membabitkan dana sebanyak RM1.25 bilion itu disiasat berikutan diberikan tanpa melalui prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, projek membabitkan pemasangan sistem solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak dianugerahkan kepada sebuah syarikat berdasarkan arahan langsung daripada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

“Berdasarkan siasatan dijalankan, Rosmah dijangka akan berdepan beberapa pertuduhan atas peranan dalam projek itu.

“Malah, ia juga adalah susulan siasatan terhadap bekas pegawai khas Najib Datuk Rizal Mansor yang sebelum ini ditahan SPRM untuk siasatan bagi kes sama pada 9 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut sumber itu, Rosmah dan Rizal dijangka dituduh di mahkamah pada minggu ini.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah menghadapi 17 tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM7 juta.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Bagaimanapun, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan wang RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lima lagi pertuduhan kerana gagal membuat penyata pendapatan.

Mahkamah kemudian membenarkan Rosmah dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan diminta menyerahkan dua dokumen perjalanan miliknya kepada mahkamah.

Manakala, siasatan SPRM ke atas Rizal pula kerana cuba mendapatkan wang daripada syarikat yang terbabit dalam projek pemasangan sistem solar hibrid berkenaan.

Sebelum ini, SPRM turut menahan beberapa individu termasuk pengarah, pengarah urusan serta peguam yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 12:01pm
d