mutakhir

Dah jumpa mayat suspek pecah rumah

Oleh Rosli Ilham dan Baharom Bakar

MAYAT lelaki yang terbabit dalam kejadian kejar mengejar dengan anggota polis sebelum terjatuh ke dalam Sungai Paka di Kampung Baru Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lalu, ditemui lemas kira-kira 400 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh pada 11.50 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat suspek berusia 39 tahun itu ditemui timbul dipermukaan air sebelum pasukan mencari dan menyelamat bergegas ke lokasi itu.

Katanya, mayat suspek itu yang masih lengkap berpakaian kemudiannya dibawa naik ke daratan sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, usaha mencari seorang lagi mangsa iaitu anggota polis, Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, terus dipergiatkan meliputi jarak lebih 10 kilometer.

“Operasi masuk hari ke empat hari ini terus dipergiatkan membabitkan seramai 65 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam APM serta penduduk kampung.

Dalam kejadian Jumaat lalu, anggota polis terbabit dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai bersama suspek dalam kejadian kejar-mengejar.

Mangsa yang bertugas di Balai Polis Paka ketika itu sedang melakukan aktiviti rondaan cegah jenayah apabila terserempak dengan suspek yang menaiki kereta curi sebelum mengejarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota polis yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Paka itu melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Aidi berkata, Wan Mohd Ariff adalah seorang yang aktif bersukan dan sedang menyiasat kes pecah rumah membabitkan suspek di Kampung Limbong sejak 8 November lalu.

Katanya, Wan Mohd Ariff bersama tiga rakan setugas iaitu Koperal Mohd Sayuti Sani, 35, Koperal Mohd Nor Fazli Ibrahim, 31 dan Konstabel Zazali Omar, 33, sedang membuat risikan di rumah yang dijadikan tempat persembunyian suspek, selepas menerima maklumat orang awam.

“Wan Mohd Ariff tergelincir ke dalam sungai ketika mengejar suspek dan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras,” katanya.

Berita berkaitan

  • 'Abang berlutut mohon maaf'
  • ‘Saya nak cepat pergi ke tempat lemas’
  • Polis, suspek dikhuatiri lemas
  • Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 1:22pm
    d