mutakhir

Rezeki musim tengkujuh

Oleh Siti Rohana Idris

SETIAP kali tiba musim tengkujuh, kedai dobi di Kelantan tidak ‘menang tangan’ apabila premis mereka dipenuhi pakaian untuk dicuci daripada orang ramai termasuk mangsa banjir.

Begitu juga kedai dobi, Wan Nurul Huda Wan Ab Ghani, 32, dengan ruang dalaman premis itu dipenuhi pakaian bersih yang tersidai selepas dicuci manakala di bahagian belakang pula banyak tilam nipis yang dijemur meskipun hari hujan dan cuaca mendung.

Wan Nurul Huda berkata, minggu pertama pada awal musim tengkujuh, pelanggan ramai datang menghantar pakaian untuk dibasuh memandangkan cuaca mendung dan hujan.

“Pada hari biasa premis ini beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 6.30 petang tapi sepanjang musim tengkujuh saya melanjutkan operasinya sehingga 10 malam.

“Pelanggan datang bertali arus dan memandangkan saya hanya dibantu seorang pembantu, memang tidak menang tangan dibuatnya,” katanya ketika ditemui di kedai dobinya di Taman Jaya, Wakaf Bharu, Tumpat.

Mengenakan bayaran RM3 sekilogram untuk pakaian manakala RM7 hingga RM10 untuk tilam nipis, Wan Nurul Huda turut menyediakan khidmat mencuci karpet dan harganya bergantung kepada saiz dan fabrik.

Beliau mengumpamakan situasi musim tengkujuh seperti musim perayaan kerana ramai pelanggan datang menghantar pakaian sekaligus memberi pulangan sekali ganda kepadanya berbanding hari biasa.

Menurutnya, premisnya semakin ramai dikunjungi pelanggan terutama di penghujung musim tengkujuh.

“Ramai pelanggan terdiri daripada mangsa banjir,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 2:15pm
d