mutakhir

Polis pantau pusat jagaan kanak-kanak

Oleh Amin Ridzuan Ishak

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pusat jagaan kanak-kanak dikendalikan syarikat dan individu bagi mengelakkan kejadian kematian akibat didera pengasuh atau ahli keluarganya berulang pada masa hadapan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kejadian terbabit yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan terbaharu membabitkan kematian bayi berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, kejadian itu adalah peringatan kepada polis untuk bertindak dan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi kerajaan lain bagi memantau semua pusat jagaan sama ada berdaftar atau tidak.

“Kita boleh membantu berkaitan maklumat sama ada pengasuh terbabit atau keluarganya pernah terbabit dengan jenayah atau pun penagih dadah seperti berlaku dalam kes-kes (dera) sebelum ini.

“Memang sebelum ini kita ada membantu dengan menjalankan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan tetapi polis mahu ke peringkat seterusnya sebagai langkah pencegahan,” katanya pada media selepas merasmikan penutupan Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia ke-30 di Pekan, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Datuk Aishah Mohammad.

Nur Muazara Ulfa meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor yang membangkitkan kemarahan orang ramai.

Bayi dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan dan dubur mangsa.

Laporan bedah siasat pula mendapati kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi itu pecah selain ada kesan lebam bahagian atas kepala mangsa.

Ujian saringan air kencing terhadap suspek lelaki berusia 36 tahun itu mendapatinya positif methaphetamine, dia dan isterinya yang berusia 28 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Noor Rashid berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih teliti dalam memilih pengasuh kanak-kanak dengan melihat latar belakangnya.

“Kadang kala mereka tidak tahu siapa menjaga anak mereka dan ada ahli keluarga pengasuh yang tinggal bersama ada rekod jenayah tidak diketahuinya.

“Kena tahu siapa sebenarnya menjaga anak mereka, banyak kes berlaku terutamanya membabitkan ibu bapa menghantar anak-anak ke pengasuh persendirian (bukan pusat jagaan), tidak tahu dengan siapa mereka berurusan,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 2:28pm
d