mutakhir

[UPDATE] Isteri Boy Tiger pun ditahan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SELEPAS empat hari menghilangkan diri, suspek dikenali sebagai Boy Tiger yang menjadi buruan polis akhirnya ditahan ketika melawat isterinya di Hospital Kajang, jam 11 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek dikatakan mahu melawat isterinya, 20, yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas melahirkan anak.

“Ketika ditahan, suspek yang berusia 31 tahun sedang melawat isterinya yang mendapatkan rawatan di sana (Hospital Kajang).

“Difahamkan, wanita (isteri suspek) itu yang turut dicari polis sedang dirawat selepas melahirkan bayi lelaki di sebuah homestay di Hulu Langat, awal pagi tadi (hari ini),” katanya ketika dihubungi.

Fadzil berkata, selain Boy Tiger, polis turut menahan wanita berkenaan untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suami isteri berkenaan akan direman, esok dan bayi mereka akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan sementara,” katanya.

Katanya, selain kes membabitkan kanak-kanak tiga tahun berkenaan, polis Selangor turut menyiasat dua lagi kes penderaan kanak-kanak di Kajang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, NSTP melaporkan seorang kanak-kanak lelaki Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahman, 3, maut dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya.

Susulan itu, bapa tiri serta ibu kanak-kanak berkenaan kemudian melarikan diri dan diburu polis sebelum mereka berjaya ditahan.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 3:23pm
d