mutakhir

Dua maut dalam nahas

Oleh Shahrinnahar Latib

DUA pemandu maut selepas kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Utama Rumpun Makmur, Kuala Krau, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu mengakibatkan Salman Zakaria, 39, dari FELDA Kota Gelangi 3, Jerantut maut di lokasi manakala Osman Omar, 43, dari Rumpun Makmur, Temerloh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Krau.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, Osman yang memandu kereta Proton Waja dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Rumpun Makmur ke Jengka.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Proton Waja berkenaan keluar simpang ke arah kanan menghala ke Jengka sebelum dilanggar pada sebelah kanan oleh Hyundai Getz yang dipandu Salman.

“Salman disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian akibat parah pada badannya manakala Osman meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kuala Krau.

“Kereta Proton Waja terbabas ke dalam semak, manakala Hyundai Getz berada di sebelah kiri jalan ke arah Kuala Krau,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 4:24pm
d