mutakhir

Tak patut turunkan taraf Petronas - Guan Eng

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan tindakan Moody’s Investors Service menurunkan penarafan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) daripada stabil kepada negatif.

Menurutnya, ini kerana agensi itu tidak seharusnya membuat penarafan berdasarkan dividen istimewa RM30 juta bersifat sekali bayar yang diberikan Petronas kepada kerajaan.

“Ini mungkin tidak dipersetujui Moody’s, tetapi saya secara peribadi berpandangan apabila anda membuat analisis penarafan, anda melihat kepada prestasi syarikat.

“Prestasi Petronas memang teguh. Jika anda hanya mengambil kira dividen one-off RM30 bilion yang diberi kepada kerajaan, saya fikir ia tidak mencerminkan prestasi kewangan syarikat itu,” katanya dalam wawancara bersama sebuah radio, hari ini.

Pada 8 November lalu, Moody’s mengesahkan penarafan A1 penerbit tempatan dan mata wang asing tidak bercagar kanan Petronas, tetapi mengubah prospek daripada stabil kepada negatif.

Naib Presiden Kanan Moody’s, Vikas Halan menjelaskan agensi itu berpandangan profil kewangan Petronas mungkin merosot jika kerajaan terus meminta syarikat itu mengekalkan pembayaran dividen tinggi, terutama jika harga minyak menurun.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyelar kerajaan dan menyifatkan perubahan taraf itu berlaku berlaku hasil ‘kecekapan’ pemerintah sekarang menguruskan wang negara serta langkah yang diambil dalam Belanjawan 2019.

Menurut Najib kerajaan kini menjarah Petronas untuk membayar dividen yang tinggi dalam usaha menampung kekurangan hasil negara sekali gus menyebabkan penarafan kredit negara pun berkemungkinan besar turut dipengaruhi.

Katanya, penarafan negatif firma Moody’s itu dibuat ketika harga semasa minyak dunia boleh dianggap tinggi serta stabil ketika ini.

“Apa jadi kalau harga minyak jatuh? Apa buffer atau penampan yang kita ada untuk nak tampung sekiranya berlaku krisis harga minyak sekali lagi?” katanya.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak.

Cara yang diambil katanya ialah dengan mempelbagaikan sumber selaras dengan keperluan semasa dan sejajar dengan arus perkembangan ekonomi dunia.

Namun, katanya, kerajaan sekarang seolah-olah mahu kembali ke zaman lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 4:42pm
d