mutakhir

14 suspek bunuh direman tujuh hari [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SERAMAI 14 suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap sehingga menyebabkan seorang pemuda 21 tahun maut, ditahan reman tujuh hari hingga Ahad ini.

Perintah tahanan reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi selepas membenarkan permohonan reman dibuat pegawai penyiasat kes dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU).

Semua suspek lelaki berusia antara 14 hingga 22 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek dibawa ke Bilik Reman, Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru pada 9 pagi hari ini, sebelum dibawa keluar pada 12.30 tengah hari selepas proses reman selesai.

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu kes terbabit, Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata pihaknya sudah menemui senjata digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Kes dianggap sudah diselesaikan berikutan tangkapan dua lagi suspek pada lewat petang semalam,” katanya.

Semalam, pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca pemuda berusia 21 tahun maut, manakala empat yang lain cedera dalam kejadian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Kuo Kuang di Skudai, Johor Bahru.

Kejadian pada 12.30 tengah hari itu berlaku ketika pihak sekolah berkenaan menganjurkan karnival jualan di dewan di sekolah berkenaan.

Bertindak atas laporan diterima, bilik gerakan polis menahan 12 individu berusia 14 hingga 21 tahun di sekitar kawasan sekolah itu bagi membantu siasatan dengan tangkapan pertama membabitkan sembilan individu sebelum diikuti tiga suspek lain.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 6:45pm
d