mutakhir

Lancar pusat kawalan digital pertama [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PENGENDALI perkhidmatan darat, Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) melancarkan pusat kawalan digital pertama di Malaysia bagi perkhidmatan pengendalian darat untuk AirAsia Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sistem itu membolehkan GTR menumpukan maklumat digital dalam masa sebenar bagi pelepasan penumpang, penyelarasan dan pengendalian bagasi melalui papan skrin digital untuk pelepasan pesawat dalam tempoh 25 minit.

"Dalam proses pendigitalan operasi ini, petugas akan menggunakan telefon pintar untuk melancarkan proses di pintu pelepasan.

"Ia membolehkan mereka untuk memeriksa penumpang dengan mudah sambil memeriksa proses pelepasan dalam masa sebenar dengan cekap dan tepat," katanya pada majlis pelancaran pusat kawalan digital di klia2 di Sepang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Kevin Chin.

Pada masa sama, Tony berkata, telefon pintar yang sama juga digunakan bagi penyelarasan bagasi dan e-bacaan semula untuk menjadikan pengendalian semua bagasi dan beban kargo lebih teratur.

"Proses ini akan meningkatkan aspek keselamatan dengan memastikan 100 peratus ketepatan berat pesawat dan keseimbangan bacaan untuk penerbangan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kakitangan GTR juga akan menggunakan peranti mudah alih bagi melaporkan diri dan menerima tugasan mereka secara automatik, seterusnya menjimatkan masa untuk melaksanakan tugasan tanpa perlu melaporkan diri ke pejabat.

Katanya, antara ciri utama lain bagi sistem itu ialah ruang latihan maya dengan enam modul membabitkan pengendalian kargo, tandas, perkhidmatan air, pendingin hawa, unit kuasa darat dan arah pesawat.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 7:11pm
d