mutakhir

[UPDATE] Tiga bantuan kepada peniaga Uptown

Oleh Ruwaida Md Zain

KERAJAAN negeri Selangor akan memberikan tiga bentuk bantuan kepada peniaga kedai Uptown Shah Alam di Seksyen 24 yang terjejas dalam kebakaran pada 5.30 pagi hari ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain bantuan membaikpulih kedai terbabit, peniaga akan menerima bantuan ihsan daripada kerajaan negeri serta bantuan memulakan perniagaan.

“Kami akan tutup kawasan terbakar dan dua hingga tiga blok selepas itu buat sementara waktu untuk siasatan pihak bomba bagi mengenal pasti punca dan sebab kebakaran.

“Setakat peringkat awal ini, tiada unsur khianat yang menyebabkan punca kebakaran berlaku.

“Selepas siasatan itu diselesaikan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membersihkan kawasan terbabit dan menyediakan tapak sementara di kawasan sedia ada kepada peniaga terjejas.

“Walaupun ada 35 lot terbabit, namun kami kenal pasti 20 peniaga terjejas kerana ada peniaga mengambil lebih daripada satu lot untuk menjalankan perniagaan mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kebakaran bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Othman; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan untuk membaiki semula lot kedai yang musnah.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu penilaian tepat kerugian dialami sebelum bantuan akan disalurkan melalui Tabung Pembangunan Usahawan kerajaan negeri.

“Untuk peniaga yang terkesan, kami akan berikan bantuan kepada mereka sebagai tanda ihsan kerajaan negeri dan jumlahnya akan diumumkan kemudian kerana saya perlu dapatkan senarai lengkap dan akan berbincang dengan Rodziah.

“Peniaga akan mendapat bantuan Hijrah untuk mereka memulakan perniagaan semula akibat kemusnahan produk dan aset perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, bomba memerlukan tempoh seminggu untuk membuat siasatan forensik bagi mengenalpasti punca kejadian, justeru kawasan terbakar akan ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, peniaga di kawasan lain yang tidak terjejas boleh menjalankan perniagaan seperti biasa, tetapi perlu dapatkan pengesahan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlebih dahulu berikutan ada sambungan membabitkan satu kedai ke satu kedai dan blok ke blok.

“Itu saya hendak pastikan supaya kita elakkan masalah lebih besar berlaku,” katanya.

Berita berkaitan

'Uptown 24 terbakar'

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 7:13pm
d