mutakhir

'Jom kita turun ke pasar'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

BERMULA dengan isu harga barang tidak turun walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan membawa kepada persetujuan dua Ahli Parlimen melawat pasar bersama.

Ketua Whip Kerajaan, Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani) rancak membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 sebelum dicelah Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN UMNO-Kinabatangan) yang mendakwa harga barang masih tinggi walaupun SST dilaksanakan.

"Mungkin Sungai Petani ada dengar video viral. YB Damansara (Tony Pua) berucap di sana sini, dengan SST harga barang akan turun.

"Kalau YB nak dengar, saya boleh kasi dengar (sambil menunjuk telefon bimbit) tapi harga barang tidak turun pun.

"Ini bajet ‘menteri kewangan kedua’ (Pua) tapi dibaca oleh Bagan (Lim Guan Eng)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mendengar namanya disebut Bung Moktar, Pua bingkas bangkit dan mencelah bagi menjawab dakwaan itu.

"Saya nak betulkan Kinabatangan, jangan selalu putar belit ayat setengah sahaja.

"Saya kata dengan SST, harga barang akan jadi lebih murah berbanding ketika GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Itu saja dan ia dapat dibuktikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," katanya.

Johari kemudian menyangkal kenyataan Bung Moktar sambil menegaskan Ahli Parlimen Kinabatangan itu pasti menyedari penurunan harga barang jika pergi ke pasar.

"Saya yakin teman-teman saya yang bekas menteri, bekas timbalan menteri, sampai sekarang pun tak turun pasar.

"Dia (Bung Moktar) cuma dengar orang lapor, (dia) turut cakap. Yang sebenar (jika) turun pasar, harga memang turun kecuali kita pergi London, hotel.

"Tapi kalau kita turun dan hidup seperti kami pernah hidup sebagai pembangkang, kami tahu yang harga memang turun.

"Tanyalah siapa pun, kecuali kita hidup seperti tidak mahu mengakui yang mereka sekarang pembangkang," katanya.

Bung Moktar kemudian bangun dan mengajak Johari ke pasar untuk melihat sendiri harga barang yang tidak turun walaupun SST dilaksanakan.

"Saya cadangkan jom kita turun ke pasar bersama. Saya orang kampung, pergi pasar hari-hari. Pasar orang kampung tau.

"Di luar negara pun saya pergi pasar orang kampung, bukan pasar raya. Yang pergi pasar raya Damansara (Pua) saja," katanya.

Pelawaan Bung Moktar itu disambut Johari yang bersetuju melawat pasar bersama 6.30 pagi esok .

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 8:39pm
d