mutakhir

Penuntut USIM perah keringat siapkan rumah pintar

Oleh Ifwan Tun Tuah

BEKERJA di tapak pembinaan lebih 14 jam sehari adalah antara cabaran dihadapi 35 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyertai Pertandingan Decathlon Solar Timur Tengah (SDME) 2018 di Dubai.

Menjadi wakil tunggal Malaysia ke pertandingan itu, mereka yang ditemani lima pensyarah berkampung di Tapak Solar Syeikh Mohammed Rashid Al Maktoum bermula 2 November lalu, bagi membina model kediaman pintar mesra tenaga dinamakan Rumah Mizan.

Ketua pembinaan pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina itu, Muhammad Ariff Hanafi berkata, mereka memulakan kerja jam 9 pagi sehingga 11 malam setiap hari dalam keadaan cuaca yang berbeza dengan Malaysia.

“Rasa letih dan tertekan memang dirasai semua peserta, lebih-lebih lagi dengan keadaan suhu panas pada siang dan sejuk waktu malam di Dubai. Selain itu, kami berdepan angin kuat dan beberapa kali ribut pasir menjejaskan jadual kami.

“Namun, kami tidak mengeluh apatah lagi berputus asa kerana tumpuan utama adalah menyiapkan projek ini sepenuhnya esok seperti yang ditetapkan oleh penganjur.

“Kami membuat persiapan selama dua tahun dan sehingga kini bekerja lebih 180 jam sejak tiba di sini dan berharap projek ini akan membawa kejayaan kepada universiti dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berdepan cabaran awal apabila pembinaan itu tidak dapat dimulakan mengikut jadual pada 29 Oktober lalu disebabkan masalah dokumentasi dan barangan yang rosak ketika penghantaran menggunakan kontena.

Sementara itu, Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM Mohd Zaini Othman berkata, Rumah Mizan adalah projek kerjasama USIM bersama Universti Teknologi Malaysia (UTM) yang terpilih bersama 14 lagi model dari pelbagai universiti dari seluruh dunia untuk menyertai peringkat akhir pertandingan itu.

“Pertandingan memerlukan peserta membina rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar selain perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai,” katanya.

Beliau berkata, majlis perasmian SDME 2018 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM11.4 juta itu akan diadakan Rabu ini dan dijangka dirasmikan oleh Pemerintah Dubai, Syeikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 10:35pm
d