mutakhir

Comelnya kamu...

Oleh Junaidi Ladjana

PEJABAT Perkhidmatan Kebajikan Am Kunak mengesan ibu kandung kepada bayi yang ditinggalkan sejak tahun lalu bagi melengkapkan siasatan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Difahamkan, bayi lelaki yang kini berusia dua tahun ditinggalkan ibunya dikenali sebagai Sherry kepada jirannya untuk seketika dengan alasan mahu mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, ibu bayi itu tidak muncul-muncul dan gagal dihubungi sejak Mei 2017 menyebabkan jirannya menyerahkan bayi terbabit kepada Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Kunak.

Pegawai Pelindung Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Kunak, Jimsamsudin Julpae, berkata ibu bayi itu diminta tampil bagi lengkapkan siasatan kerana kanak-kanak berkenaan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ibu kandung atau waris diminta tampil ke Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Kunak bagi melengkapkan siasatan dan sebutan kes pada 28 November ini di Mahkamah Lahad Datu.

“Individu yang mempunyai maklumat berkenaan ibu bayi itu diminta supaya menghubungi Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Kunak di talian 089-851208,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 11:49pm
d