mutakhir

Wanita sara suami lumpuh, tiga zuriat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Demi mencari rezeki bagi menanggung suami yang lumpuh, seorang ibu kepada tiga anak berusia 10 hingga 17 tahun, tabah memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

Siti Zaharah Mohd, 45, berkata, suaminya, Mohd Udin Saufi, 47, disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi kronik sejak dua tahun lalu, namun keadaan kesihatannya semakin merosot apabila diserang penyakit lumpuh sejak tiga bulan lalu.

Katanya, dalam tempoh dua tahun selepas disahkan menghidap penyakit itu, kesihatan suaminya sering kali terganggu sehingga terpaksa berhenti kerja sebagai pengimpal besi dan sejak itulah dia terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Jika sebelum ini, saya dan suami sama-sama bekerja untuk menambah pendapatan keluarga, tetapi kini bersendirian menggalas tanggungjawab ini selepas dia sakit dan kini hanya terlantar di atas tilam.

“Lebih menyedihkan lagi, selepas suami terlantar, dia tidak lagi boleh bercakap dan hanya merengek seperti anak kecil apabila berasa sakit terutamanya apabila diserang sawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lundang.

Siti Zaharah mengakui pendapatannya sebagai pembancuh air di kedai makan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan suami dan tiga anaknya.

Siti Zaharah berkata, bantuan bulanan yang diperoleh suaminya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 terpaksa digunakan untuk membayar sewa rumah.

“Bagi menambah pendapatan keluarga, setiap pagi saya menjual nasi dan diletakkan di kedai makan di Wakaf Siku dan hasil jualan yang diperoleh sekitar RM40 hingga RM45 sehari,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03109-29-00011246-1 atas nama Mohd Udin Saufi atau hubungi Siti Zaharah di talian 017-9704369.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 11:14am
d