mutakhir

Ziarah keluarga asnaf

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Rasa prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik mendorong 10 ahli Geng Stadium Keladi Runners (GSK) menganjurkan Program Belia Bersama Miskin, Orang Susah, Warga Emas dan Anak Yatim (MOSWAY).

Program itu membabitkan siri ziarah ke rumah keluarga asnaf, penyampaian barangan keperluan asas serta pemberian duit zakat di sekitar Kulim, Lunas dan Padang Serai, Kedah.

Pengasasnya, Mohamad Farid Yusoff berkata, program itu sebahagian inisiatif GSK dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata, penubuhan progam itu bermatlamat menanam sikap prihatin dan mengajak ahli menolong golongan kurang bernasib baik walaupun sibuk dengan urusan harian serta aktiviti sukan.

“GSK ditubuhkan sejak 10 bulan lalu dan sepanjang tempoh itu, pelbagai program sudah dilaksanakan dan Belia Bersama MOSWAY salah satu daripadanya.

“Sehingga kini, dua siri program berkenaan sudah dijalankan iaitu di sekitar Lunas, Sungai Seluang dan Kampung Keladi di Kulim pada 19 Ogos lalu.

“Siri kedua baru diadakan pada 21 Oktober lalu membabitkan Taman Selasih, Kulim, Nagai Lilit dan Padang Serai.

“Setiap siri membabitkan aktiviti ziarah ke 10 rumah selain penyampaian barangan keperluan dan zakat dengan peruntukan RM170 untuk setiap keluarga hasil sumbangan individu perseorangan,” katanya.

Mohamad Farid berkata, selain membantu asnaf, dia berharap program itu menjadi titik permulaan untuk lebih peka dengan keperluan masyarakat

“Kita tidak mahu GSK sekadar menjadi platform menghimpunkan mereka yang aktif dalam sukan larian semata-mata.

“Sebaliknya, kita ingin memperluaskan lagi aktiviti kelab antaranya menerusi program sukarelawan dan khidmat masyarakat dari masa ke semasa.

“Ia bersesuaian dengan slogan GSK iaitu bukan sekadar larian, jadi kita berharap lebih banyak program dapat dilaksanakan tidak kira dalam skala kecil atau besar,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada ahli, Mohd Nadzri Ibrahim, 38, berkata, penyertaan dalam program berkenaan memberinya pengalaman baru memandangkan belum pernah menyertai mana-mana aktiviti sukarelawan sebelum ini.

“Akhirnya, impian itu terlaksana dan jujurnya, saya rasa tersentuh melihat keadaan mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 11:22am
d