mutakhir

Najib akan dibicara dengan adil

Oleh Syed Umar Ariff dan Rizanizam Abdul

TUN Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan mereka yang berdepan tuduhan salah laku dan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mendapat perbicaraan yang adil berlandaskan undang-undang negara.

Perdana Menteri berkata, ini termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turut menghadapi pertuduhan itu.

“Kami percaya kepada kedaulatan undang-undang, apa yang disebut dalam undang-undang, kami terima,” katanya dalam temubual bersama wartawan CNBC International yang disiarkan hari ini.

Perdana Menteri memberi reaksi demikian ketika ditanya apakah Najib turut dijamin mendapat perbicaraan yang adil dalam kes 1MDB.

“Saya harus mengakui bahawa, dalam rejim sebelumnya, terdapat percubaan untuk membantah dengan badan kehakiman, tetapi kami mahukan sebuah badan kehakiman yang bebas dan kami berharap mereka tidak akan berat sebelah.

“Sekiranya dia perlu dibicarakan, dia harus dibicarakan. Jika dia dituduh dan didapati bersalah, maka undang-undang akan memutuskannya.

“Jika dia didapati tidak bersalah, maka hukum undang-undang juga akan berlaku,” kata Dr Mahathir.

Najib sebelum ini ditahan berhubung siasatan syarikat pelaburan strategik 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau yang mengasaskan 1MDB pada 2009, menjadi subjek siasatan pengubahan wang haram dan rasuah, selepas beberapa laporan mendakwa berjuta dolar masuk ke akaun peribadinya daripada syarikat itu dan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Susulan itu, setakat ini Najib didakwa dengan 32 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa atas berbilion ringgit yang diterima dalam akaun peribadinya.

Beliau yang mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu kini dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan yang berkaitan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ke atas projek yang membabitkan berbilion ringgit, bersama dengan bekas pegawai khas, dua bekas menteri dan seorang bekas timbalan menteri.

Dipercayai Najib, bekas menteri dan bekas pegawai khas terbabit dalam projek untuk membekalkan dan memasang panel solar di 369 sekolah di Sarawak dengan kos RM1.25 bilion.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 5:36pm
d