mutakhir

Rosmah, Ku Nan ke SPRM esok

Oleh Safeek Affendy Razali

ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pembantunya sudah diberikan notis untuk hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, esok.

Kedua-dua mereka dipanggil berhubung siasatan terhadap beberapa kes penyelewengan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah di Sarawak.

Sumber berkata, kedua-dua mereka diarahkan untuk hadir ke pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi esok dan dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis.

“Kedua-dua mereka sudah pun dipanggil dan berkemungkinan mereka akan ditahan di lokap SPRM Putrajaya sebelum dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, juga dipanggil ke ibu pejabat SPRM Putrajaya, jam 2 petang esok.

Ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan juga turut dijangka didakwa keesokan harinya berhubung siasatan kes berkenaan termasuk 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas lebih 273 hektar bernilai RM5.63 bilion.

Sebelum ini, Tengku Adnan mengakui bahawa dirinya sudah dipanggil oleh SPRM lebih 12 kali berhubung siasatan kes berkenaan.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 7:45pm
d